Jumaat, 10 April 2015

MEMANCING UDANG GALAH

MEMANCING UDANG GALAH




MEMANCING UDANG GALAH

PerkaraUtama berbincanglah dengan rakan, tarikh, masa dan lubuk yang akan dituju untuk aktiviti memancing udang.(menaiki bot). Persiapan awal antaranya engin sangkut 4 – 15 kuasa kuda, pendayung, sauh, tali, membuat perambut awal, peralatan memancing yang dikira lengkap, tidak lupa jaket keselamatan dan jika ingin memancing malam jangan lupa lampu suluh dan '‘lampu kalimantan'’atau '‘lampu ayam'’ Umpan perlu dicari terutama cacing tanah atau anak udang(yang dibungkus dalam suratkabar dan disimpan didalam peti sejuk,bagi mempastikan kesegarannya).
Peralatan
  1. Joran dan Kekili untuk memancing udang biarlah jenis ringan. Joran halus sebaiknya dalam 4 1/2 kaki panjang dan Kekili tidaklah perlu besar.
  2. Tali Utama seeloknya antara 10 - 15 paun manakala perambut pula antara 6 – 8 paun.
  3. Saiz batu ladung kebiasaannya antara no: 5 – 6. Saiz batu ladung yang kecil boleh digunakan ketika arus sungai bergerak perlahan.
  4. Beberapa jenama mata kail kecil boleh digunakan tetapi biasanya ialah antara no: 7 – 10 menjadi pilihan utama. Adakalanya pemancing suka menggunakan mata kail buatan sendiri.
Umpan (Rujuk Menu Utama Kelab ATUR – Bah. Umpan)
Udang sebenarnya tidak memilih makanan/umpan, tetapi pemancing mesti juga memikirkan ketahanan umpan dimata kail, antaranya cacing, perumpun, udang kecil, isi ikan. Namun pilihan utama tetap cacing tanah kerana berkaitan rapat dengan bentuk badannya dimata kail dan kesesuaian satu-satu lubuk udang tersebut.
Cara Memancing (dari atas sampan)
  1. Untuk memancing diatas sampan, paling sesuai dan selesa ialah 2 orang untuk sebuah sampan sepanjang 12 – 16 kaki.
  2. Lima batang joran seorang adalah bertepatan dan jika ada yang baru belajar mereka bolehlah bermula dengan 2 –3 batang dulu. Tidak menghairankan ada yang menggunakan lebih dari itu jika ia mampu mengawal kesemuanya.
  3. Susunan joran diatas sampan semasa memancing juga penting mengikut aturan yang betul seperti joran 1 dilontar jauh, diikuti joran 2 dekat sedikit dan begitulah seterusnya hingga joran terakhir dihulur saja bawah sampan. Ini semua dapat mengelakkan dari berbelit sesama sendiri.
  4. Melontar umpan sehingga umpan/batu ladung menjejaki dasar sungai, kemudian mengarau tali ibu dikekili sehingga tegang. Seterusnya diletakkan joran ditepi sampan tanpa dipegang dengan tangan dan tunggu.
  5. Jika sudah pasti udang telah menelan umpan(dgn. Melihat henjutan dihujung joran) lakukan sentapan yang lembut atau terus mengarau tali. Disinilah debaran dada si pemancing udang dapat dirasai dengan henjutan udang samada berjaya atau sebaliknya untuk didaratkan.
Makluman
  1. Isyarat udang memakan umpan adalah tidak sama mengikut keadaan.
  2. Kadang kala udang memakan umpan tanpa menunjukkan sebarang gerakan.
  3. Ada pula yang menyambar dengan kasar seperti ikan.
  4. Ada yang menarik umpan dengan keadaan separuh malu.
  5. Sambaran yang kecil dan perlahan tidak semestinya udang kecil dan sambaran yang kasar dan kuat tidak semestinya udang besar. (jangan terkejut) jawapan akan diketahui diseparuh perjalanan udang semasa hendak dinaikkan.
Mencari Lubuk
  1. Perhatikan kawasan yang mempunyai banyak makanan (buangan) serta kawasan yang senang udang bersembunyi.
  2. Kawasan berteluk berarus sederhana laju.
  3. Kawasan yang mudah tersangkut yang terdapat banyak ranting-ranting pokok serta akar-akar pokok didalam air.
  4. Memandangkan jadual air berubah setiap hari, kedudukan udang juga begitu, adakalanya udang galah suka bermain ditengah sungai terutama bila air bergerak sederhana laju.
Panduan
  1. Ketika memancing udang, sikap malas jangan diamalkan. Umpan perlu selalu diperiksa dimata kail. Caranya selepas 5 minit umpan dilabuhkan dan tidak ada sebarang isyarat, perlulah mengangkat joran untuk mempastikan sama ada ia tersangkut atau pun sudah memperolehi udang.
  2. Jika selepas 15 minit masih tiada isyarat udang, ini bermakna kawasan tersebut tidak sesuai untuk pancingan udang dan perlu beredar ke tempat lain.
  3. Musim tengkujuh adalah musim yang tidak sesuai memancing udang kerana paras air yang terlalu tinggi, aliran air yang deras serta cuaca/air yang sejuk.
  4. Masa paling sesuai ialah ketika musim panas 4 –5 hari tanpa hujan, air sungai menjadi suam tika itu udang galah keluar mencari makan.
  5. Gangguan spt. Anak-anak ikan, dan sebagainya adalah cabaran dalam menahan kesabaran.
  6. Penggunaan sauh diperlukan jika ingin memancing ditengah sungai.
  7. Jika sungai kecil (hulu) tali boleh direntang didalam usaha mencari lubuk udang.
Peringatan
  1. Pertuturan harus dijaga.
  2. Elakkan membuang makanan spt. Daging dikawasan pancing udang.
  3. Mata dan telinga sentiasa berwaspada kerana kebiasaan lubuk udang dikongsi bersama oleh sang bedal.
  4. Sering memberi kerjasama sesama rakan-rakan.
  5. Mulakan sesuatu dengan Bismillah dan disudahi dengan Alhamdulillah.

waktu udang galah mengganas.

waktu udang galah mengganas.

Musim kemarau seperti sekarang adalah masa yang sesuai untuk turun memancing si sepit biru ini.

Isinya sedap dan juga harganya yang mahal menjadikan ia tarikan utama sama ada pemancing atau nelayan sungai bertandang ke sini walaupun terdapat banyak spesies lain seperti ikan baung dan lampam.

Kunjungan Cikgu Zaidi Salleh dan Sir Rustam ke Sungai Kerian sering membuahkan hasil. Biasanya, berkilogram udang pasti menjadi habuan mereka. Terdapat banyak tempat menyewa bot untuk meninjau lubuk pilihan di Sungai Kerian. Antara jeti yang dapat pemancing ke sana seperti jeti Lubok Buntar dan Sungai Incong selain jeti di Sungai Kerian.

Sepanjang perjalanan kita dapat saksikan keindahan hutan semula jadi yang belum tercemar. Walaupun cuaca agak panas tetapi masing-masing lebih teruja untuk terus menyelongkar rahsia lubuk si udang galah Kerian ini. Kadang kala kehadiran kami disambut meriah oleh monyet yang menjadi penghuni tetap tebing sungai ini.

Bagi pemancing yang belum biasa ke sini dinasihatkan berhati-hati ketika memandu bot kerana terdapat banyak tunggul dan kayu pancang terbiar. Banyak insiden perlanggaran dilaporkan berlaku. Tidak kurang juga yang tersesat kerana kurang arif selok belok sungai ini.

Umpan yang sering digunakan di sini ialah perumpun nipah dan pelbagai umpan lain. Asalkan ia berhasil, bawalah apa saja umpan ke sini. Di samping itu, anda boleh juga memancing ikan baung yang bersaiz besar menggunakan ulat lundi. Ikan lampam juga dapat dilayan menggunakan umpan usus ayam.

Biasanya setiap pemancing akan menggunakan dua joran lembut di kiri dan kanan birai bot ketika memancing. Memang syok memancing udang galah ini. Kita perlu sedikit sentimental dan jangan gelojoh. Kekuatan tarikan udang walaupun tidak sehebat ikan namun ia memerlukan kemahiran dan teknik yang betul. Bagi yang belum biasa, tentu akan merasa gian jika terkena getuan manja si sepit biru ini.

Banyak juga udang galah yang berjaya dipancing. Hasil yang agak lumayan itu membuatkan masing-masing tersenyum. Walaupun berpanas sepanjang hari namun kepuasan memancing si sepit biru Sungai Kerian memberi seribu kepuasan.

Info

UMPUN-UMPUN umpan terbaik di Sungai Kerian. Masa memancing adalah lewat petang, awal pagi mahupun sebelah malam.



Musim udang galah

HUJUNG dan awal tahun adalah masa paling sibuk bagi pemancing udang galah. Musim udang galah sering disamakan dengan musim daun getah gugur. Ataupun ketika musim panas (kemarau) di Pantai Barat. Di Semenanjung, udang galah banyak di Sungai Muda (Kedah). Sungai Kerian dan Sungai Perak (Perak). Sungai Bernam, Sungai Selangor dan Tanjung Karang (Selangor). Sungai Linggi (Melaka). Sungai Muar, Sungai Johor, Sungai Sedili, Sungai Mawai dan Sungai Mersing (Johor). Sungai Endau, Sungai Pontian, Sungai Rompin, Sungai Merchong, Sungai Pahang dan Sungai Kuantan (Pahang). Di Terengganu Sungai Kemaman, Sungai Paka, Sungai Dungun, Sungai Nerus dan Sungai Setiu.

Memancing udang galah lazimnya menggunakan bot kecil dengan dua atau tiga pemancing. Umpan popular - umpun-umpun, ikan gapi, anak udang dan hati ayam. Waktu memancingnya awal pagi, petang dan malam.

* Sila lepaskan jika anda memancing ibu udang yang mempunyai telur bagi memberi peluang ia terus membiak.*